Can You Weather the Peaks and Valleys of Stock Investing

Melabur dalam pasaran saham umpama bermain ombak. Ada ketika ombak mengganas, ada ketikanya keadaan tenang dan ada ketikanya angin datang mengocak perlahan hingga mengganggu emosi dan tumpuan.
Ada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan semua keadaan ini berlaku. Ada kalanya berita baik, ada kalanya berita buruk, namun yang pasti berita ini tidak memberi kesan yang sama kepada pelabur pasaran saham.
Bagi yang belum biasa dengan istilah pelaburan saham, pelaburan saham bermaksud anda melabur untuk membeli seunit saham yang didagangkan di pasaran saham. Di Malaysia, semua ini berlaku di Bursa Malaysia yang merupakan pusat utama pemain dalam pelaburan saham.
Apabila anda membeli seunit saham, ini bermakna anda membeli satu unit daripada jumlah keseluruhan pemilikan syarikat berkenaan, yang mana ini bermaksud anda memiliki pegangan syarikat berkenaan dalam bentuk sham atau ekuiti. Sebagai pemegang saham, anda layak untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan syarikat berkenaan.
Di negara ini, anda hanya boleh membeli saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan antara syarikat tersenarai pastilah pemain utama seperti Tenaga Nasional Berhad, Malayan Banking Berhad, Nestle Malaysia Berhad dan lain-lain lagi.
Bagaimana Melabur Dalam Pasaran Saham?
Sebelum boleh melabur, anda perlu perlu buka akaun CDS iaitu sistem depositori pusat yang akan merekodkan hak milik saham dan sejarah transaksi saham dan pada masa ini, anda mempunyai akses untuk mengurus sendiri pembelian dan penjualan saham.
Jika dulu sebahagian besar pelabur bergantung kepada remisier atau broker saham, hari ini pelaburan boleh dilakukan secara terus menerusi Maybank2u dan pelbagai akaun lain secara dalam talian. Ini mengurangkan kos yang perlu anda tanggung apabila melabur kerana anda tidak perlu lagi membayar komisen kepada pihak ketiga.
Namun begitu, apa yang paling penting dalam pelaburan saham ialah anda perlu mempunyai minat, masa yang banyak untuk memantau pelaburan dan mengambil tahu mengenai perkembangan dan isu-isu semasa yang berpotensi memberi kesan kepada prestasi pasaran saham dan turun naik harga saham syarikat yang anda miliki.
Ini amat penting sekiranya anda merupakan pedagang di pasaran saham yang mana tujuan anda melabur ialah mencari keuntungan jangka pendek atau sederhana.
Ada juga yang melabur dalam pasaran saham untuk jangka panjang, yang mana sebarang perubahan pada harga seunit saham tidak memberi kesan, sebaliknya mereka lebih menumpu kepada dividen tahunan sebagai keuntungan.
Pelabur terkenal yang dikenali sebagai Oracle of Omaha, Warren Buffet menasihatkan pelabur saham supaya tidak melabur dalam perniagaan yang tidak difahami dan melabur berdasarkan nilai jangka panjang sesebuah syarikat. Beliau juga menasihatkan pelabur supaya melabur berdasarkan ilmu bukannya emosi.
Risiko Pelaburan Saham
Oleh kerana pelaburan dalam pasaran saham diumpamakan seperti bermain ombak, sudah pasti ia membabitkan risiko yang tinggi.
Namun begitu, pelabur juga boleh mengharapkan pulangan tinggi lebih-lebih lagi jika anda merupakan pelabur yang sentiasa memantau pergerakan saham, syarikat, industri dan persekitaran global yang membolehkan anda bertindak pantas untuk menjual atau membeli pelaburan.
Cuma satu perkara yang perlu anda tahu, untuk merealisasikan keuntungan atau mengurangkan kerugian, anda perlu berani menjual pegangan sedia ada pada bila-bila masa diperlukan. Kebiasaannya sikap tamak kerana inginkan keuntungan berlebihan menyebabkan kadang-kadang pelabur berputih mata kerana harga saham yang meningkat, akhirnya jatuh semula.
Mengapa jatuh semula? Apabila semua pelabur menjual semula saham yang dimiliki dan tiada pembeli untuk saham berkenaan, akhirnya harga saham berkenaan akan jatuh dengan sendirinya. Jadi untuk bermain saham, anda perlu mengambil langkah proaktif, tidak kira sama ada untuk meraih keuntungan atau mengurangkan kerugian.
Pulangan Daripada Pasaran Saham
Apabila anda melabur dalam pasaran saham, anda mempunyai dua peluang untuk meraih keuntungan iaitu menerusi keuntungan modal dan dividen yang diumumkan syarikat.
Keuntungan modal berlaku apabila harga saham semasa meningkat berbanding harga belian manakala kerugian modal ialah apabila harga saham semasa lebih rendah berbanding harga belian.
Dividen pula biasanya hanya diumumkan syarikat sekiranya mereka meraih keuntungan. Jika syarikat rugi, kemungkinan besar tiada dividen diumumkan.
Lihat situasi dibawah:
Ali membeli 1,000 unit saham syarikat XYZ pada harga seunit RM1 (RM1 x 1,000) menjadikan nilai pegangannya ialah RM1,000.
Beberapa bulan selepas itu, harga saham syarikat XYZ menjunam kepada 50 sen seunit (RM0.50 x1,000). Apabila ini berlaku, nilai semasa saham yang dimiliki Ali ialah RM500, berbanding RM1,000 sebelum ini.
Sekiranya Ali menjual saham yang dimilikinya, dia akan menanggung kerugian sebanyak RM500 dan ini merupakan kerugian modal kepada Ali.
Namun jika Ali tidak menjual saham berkenaan, kerugian hanya berlaku atas kertas, dan Ali masih boleh menikmati dividen daripada syarikat berkenaan, sekiranya ada.
Ketidakstabilan Pasaran
Pelaburan saham berhadapan dengan risiko kerugian. Ini kerana harga saham sangat sensitif pada sebarang situasi yang berlaku pada syarikat yang menerbitkan saham tersebut, dan juga situasi semasa di dalam dan di luar negara.
Contohnya sewaktu kemuncak wabak Covid-19, permintaan untuk sarung tangan getah melambung tinggi. Permintaan jauh melebihi pengeluaran kerana sarung tangan menjadi satu keperluan bukannya kehendak dan keadaan ini menyebabkan harganya melambung tinggi seterusnya membolehkan syarikat pengeluar menikmati keuntungan berlipat ganda.
Pada waktu itu, harga saham syarikat pengeluar sarung tangan melonjak tinggi hingga membolehkan ramai menikmati keuntungan modal daripada peningkatan harga saham berkenaan.
Namun kini selepas Covid-19 tidak lagi dianggap sebagai pandemik, permintaan terhadap sarung tangan semakin berkurang dan hari ini, harga seunit saham syarikat pengeluar sarung tangan juga telah jatuh.
Bagi pelabur yang masih memegang saham syarikat berkenaan, mereka kini berdepan kemungkinan kerugian kerana harga saham syarikat pengeluar sarung tangan berkenaan mungkin tidak akan kembali ke tahap ketika Covid-19 mengganas dalam jangka masa terdekat ini.
Selain itu, apabila berlaku market crash, ramai yang akan kerugian teruk. Contohnya sewaktu Krisis Kewangan Asia yang berlaku pada tahun 1997 dan telah menyebabkan Indeks Bursa Malaysia jatuh 856 mata.
Jadi, kita kena faham, pasaran saham mempunyai volatiliti yang tinggi dan sangat sensitif terhadap apa juga kejadian yang berlaku bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di luar negara.
Harga saham boleh naik satu hari dan turun menjunam pula pada hari berikutnya. Dalam kejadian seperti berikut, keputusan jual beli saham perlu dilakukan dengan pantas untuk mendapatkan pulangan positif, ataupun untuk elak kerugian lebih teruk.
JOM MELABUR DENGAN BIJAK
Jika anda ingin melabur dalam pasaran saham, anda perlulah bersedia dari segi mental dan rajin menambah ilmu untuk menangani cabaran dan volatiliti yang bakal anda hadapi apabila sudah bergelar pelabur saham.
Namun jika anda inginkan ketenangan dalam pelaburan dan masih belum ada sebarang tabung kecemasan, adalah lebih baik jika memilih untuk melabur dalam pelaburan berisiko rendah seperti ASB dan deposit tetap bank.
Tidak salah meneroka pelbagai jenis pelaburan, tetapi jangan sampai pelaburan menyebabkan anda berputih mata.