Unit Amanah : Pilihan Pelaburan Terbaik


Pengenalan
Hari ini ramai dari kita telah menaruh minat untuk melabur. Malangnya niat yang baik tersebut selalu dicurangi oleh sesetengah pihak yang menawarkan pelaburan yang terlalu sukar untuk ditolak kerana ianya menjanjikan pulangan yang tinggi.
Setelah semua wang yang kita simpan dilaburkan ke dalam pelaburan berkenaan, barulah diketahui rupanya pelaburan tersebut sebenarnya adalah cuma sekadar permainan wang (money game).
Permainan wang adalah dimana pihak yang ditawarkan untuk menyertai pelaburan tersebut biasanya akan mendapat pulangan yang lumayan pada peringkat awalnya tetapi ianya sebenarnya adalah strategi pengurusan pelaburan tersebut untuk mendapatkan lebih ramai peserta dengan menggunakan wang pelabur untuk membayar keuntungan dan bukannya keuntungan sebenar. Selain dari itu terdapat juga pelaburan-pelaburan lain yang menjalankan perniagaan sebenar dengan pelaburan yang ditawarkan terutamanya tawaran pelaburan oleh syarikat bukan senaraian awam.
Malangnya kebanyakan darinya gagal menguruskan aliran tunai dengan baik menyebabkan perniagaan tersebut mengalami kerugian maka mengakibatkan pelabur tidak mendapat pulangan yang dijanjikan.
Lebih parah lagi ada diantaranya kehilangan modal menyebabkan pelabur tidak akan dibayar kembali atau syarikat terpaksa gulung tikar. Ada juga diantara kita kini suka dengan pelaburan matawang kerana jumlah atau saiz pasaran berkenaan amatlah besar dibandingkan dengan pasaran-pasaran yang lainnya.
Mereka biasanya akan mendaftar dengan penyedia perkhidmatan yang akan membenarkan mereka membuka akaun serta pelbagai alatan atau perkakasan teknikal yang mereka perlukan untuk membuat keputusan.
Pada peringkat awalnya mereka mungkin merasai keuntungan menyebabkan mereka meningkatkan nilai taruhan mereka dan meningkatkan risiko mereka yang akhirnya apabila berlaku kerugian, sukar untuk mereka mendapatkan kembali modal mereka.
Objektif Pelaburan
Apa yang dinyatakan di atas adalah sebahagian dari kisah-kisah berkaitan pelaburan yang dilakukan oleh masyarakat Malaysia. Tidak kurang juga ada diantara masyarakat kita yang berjaya mencapai objektif pelaburan masing-masing dengan menyertai pelaburan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Saya percaya kita semua ingin sentiasa melabur dalam pelaburan yang memberikan keuntungan untuk menolong kita mencapai matlamat tertentu dalam kehidupan seperti matlamat untuk bersara, menyediakan dana yang mencukupi untuk anak-anak meneruskan pelajaran di masa depan dan pelbagai lagi. Dalam kita merancang untuk melabur, perlu diingat bahawa tujuan sebenar kita menyertai sesuatu pelaburan itu adalah untuk membantu kita mencapai matlamat tertentu dalam kehidupan contohnya untuk menunaikan haji beberapa tahun akan datang.
Untuk menunaikan haji kini memerlukan jumlah dana yang banyak menyebabkan kita perlu bermula menyimpan dalam dana pelaburan yang boleh dipercayai seperti tabung haji. Begitulah juga dengan matlamat pelaburan yang lain seperti matlamat untuk bersara dengan selesa.
Selain dari dana yang terkumpul dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelabur munkin ingin menambahkan dana persaraan berkenaan dengan melabur dalam pelaburan-pelaburan yang lain yang mungkin berpotensi memberika pulangan yang lebih tinggi dan pelabur berupaya menukar pelaburan kepada pelbagaian dana yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan atau pengurus dana. Untuk tujuan mencapai matlamat persaraan sahaja, di negara kita Malaysia ini kita mempunyai Skim Persaraan Swasta yang menawarkan pelabur untuk memilih ratusan dana yang bersesuaian dengan profil risiko pelabur yang diuruskan oleh sembilan (9) pengurus dana yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Pelabur boleh merujuk kepada laman sesawang https://www.ppa.my/prs-providers/ yang menyenaraikan semua nama pengurus dana yang terpilih untuk menguruskan dana Skim Persaraan Swasta di Malaysia.
Pelabur Skim Persaraan Swasta mempunyai beberapa mod pilihan sebagai pelabur, dan kepada pelabur yang baharu amatlah disarankan untuk memilih mod automatik yang membolehkan pihak pengurusan melakukan pemilihan dana pelaburan yang bersesuaian dengan profil risiko pelabur secara automatik.
Strategi Pelaburan
Dalam zaman yang mana kita semua terdedah kepada media sosial hari ini, pelbagai pihak menawarkan pelbagai teknik dan strategi pelaburan yang dikatakan berkesan namun untuk memahami semua teknik serta strategi berkenaan mengambil masa yang panjang yang mungkin sukar untuk ramai dari kita mendalaminya. Sebagai permulaan untuk kita menceburkan diri dalam arena pelaburan, eloklah kita memulakannya dengan sesuatu strategi yang terbukti berkesan dan diperakui oleh semua pelabur-pelabur serta pengurus-pengurus dana yang pakar.
Antaranya adalah Dollar Cost Averaging iaitu strategi pelaburan yang memerlukan pelabur untuk melakukan pelaburan berkala yang tetap pada jumlah yang tetap secara berterusan.
Contoh Dollar Cost Averaging adalah dimana seorang pelabur ingin mencapai matlamat untuk mencapai dana persaraan, apa yang beliau lakukan adalah dengan melabur sejumlah wang yang sama secara berterusan ke dalam satu dana pelaburan yang dipilih setiap bulan. Jumlah pelaburan tertakluk kepada kemampuan pelabur itu sendiri serta matlamat jumlah yang ingin dicapai.
Kesimpulan
Berdasarkan apa yang kita dapati dari perkongsian di atas, perlulah diingati bahawa pelaburan bukanlah satu alat yang boleh kita gunakan untuk menjadikan kita kaya dengan kadar segera.
Pelaburan adalah satu cara untuk kita mengumpulkan jumlah wang tertentu untuk kita mencapai matlamat tertentu dalam hidup kita seperti menunaikan haji, membiayai pelajaran anak-anak ke universiti, persediaan persaraan ataupun matlamat-matlamat lain yang bertepatan dengan keperluan kita. Kepada kebanyakan kita, pelaburan dalam pelbagai Unit Amanah seperti yang ditawarkan oleh Permodalan Nasional Berhad, atau puluhan pengurus dana lain yang menawarkan ratusan dana-dana yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia adalah pilihan yang terbaik kerana mereka menawarkan perkhidmatan pengurus dan profesional yang meneliti, menganalisa serta serta menguruskan semua pelaburan yang dibawah jagaan mereka.
Ini membolehkan kita tidur lena mengenangkan bahawa semua pelaburan kita berada dalam jagaan mereka yang pakar dalam pengurusan dana pelaburan serta mereka pulak dikawal selia oleh pihak berwajib seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Dalam memilih pelaburan yang sesuai, hendaklah kita sentiasa merujuk kepada yang pakar atau setidak-tidaknya rujuklah kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mendapatkan senarai pelaburan yang diluluskan agar kita tidak mudah tertipu dengan tawaran pelaburan yang menguntungkan serta sukar ditolak tetapi akhirnya mengundang padah. Selain dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia, orang ramai juga boleh merujuk kepada:
1. Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC)
2. Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM)
3. Persatuan Penasihat Kewangan Malaysia (AFA)
4. Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM)