Unit Amanah Pilihan Pelaburan Lebih Baik?

Melabur dalam unit amanah merupakan salah satu kaedah pelaburan mudah yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang ingin membina kekayaan dalam jangka panjang.
Antara kelebihan melabur dalam unit amanah ialah pelabur tidak memerlukan modal yang besar untuk memulakannya dan risiko pelaburan pula berada dalam kategori rendah dan sederhana bergantung kepada produk unit amanah.
Pelabur juga tidak perlu meluangkan masa yang banyak untuk memantau pelaburan kerana pelaburan mereka sebenarnya diuruskan oleh pengurus dana profesional yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan.
Unit amanah yang ditawarkan di negara ini terbahagi kepada 2 iaitu harga tetap dan harga berubah yang mana perbezaan paling ketara antara keduanya ialah dari segi risiko pelaburan.
Unit amanah harga tetap berisiko rendah kerana harga seunit dijual dan dibeli pada harga tetap RM1, berbanding unit amanah harga berubah yang mana nilai seunit berubah setiap hari bergantung kepada nilai aset bersih tabung unit amanah berkenaan.
Oleh itu, pelabur tidak akan menanggung risiko kerugian jika melabur dalam unit amanah harga tetap, namun boleh mengharapkan dividen setiap tahun. Unit amanah harga tetap ditawarkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan antaranya ialah ASB, ASB2, ASB3-Didik, Amanah Saham Malaysia (ASM), ASM2 Wawasan dan ASM3
ASB merupakan tabung unit amanah terbesar di negara ini dengan jumlah pelabur melebihi 10 juta orang.
Manakala untuk unit amanah harga berubah, sehingga 30 November lalu, terdapat lebih 700 tabung unit amanah ditawarkan oleh syarikat pengurus unit amanah seperti ASNB, Maybank Asset Management, MIDF Amanah Asset Management, Public Mutual dan PMB Investment Berhad.
Berdasarkan definisi daripada Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM), unit amanah ialah pelaburan secara kolektif oleh pelabur yang mempunyai matlamat yang sama ke dalam satu dana yang diuruskan oleh pengurus dana profesional.
Pengurus dana profesional ini kemudiannya akan melaburkan dana berkenaan ke dalam kelas aset seperti pasaran saham, bon, tunai dan sebagainya untuk memperoleh keuntungan.
Keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan berkenaan akan dipulangkan kepada pelabur dalam bentuk dividen atau agihan pendapatan bergantung kepada tempoh pelaburan yang ditetapkan.
Ini bermakna apabila seseorang itu melabur dalam unit amanah, ia sama seperti melantik seorang pengurus profesional untuk menguruskan wang pelaburan mereka.
Kaedah pelaburan menerusi unit amanah ini adalah lebih mudah berbanding jika melabur sendiri dalam pasaran saham yang sangat ‘volatile’ kerana turun naik harga saham dan indeksnya yang tidak menentu.
Justeru apabila melabur dalam unit amanah, pelabur tidak perlu meluangkan begitu banyak masa dan tenaga untuk menguruskan pelaburan mereka.
Pelaburan dalam unit amanah juga lebih tinggi kecairannya berbanding pasaran saham kerana pemegang unit boleh menjual unit mereka pada bila-bila masa memerlukan.
Namun untuk menjual pegangan mereka, antara perkara yang perlu diambil kira ialah perbezaan harga beli dan jual untuk mengelak kerugian. Untuk meraih untung, harga jualan mestilah lebih tinggi berbanding harga beli, kecuali jika pelabur sudah melabur untuk jangka panjang dan dividen yang diterima sudah cukup untuk menampung kerugian berkenaan.
Pelabur juga dapat mengurangkan risiko yang ditanggung kerana risiko berkenaan sudah dikongsi beramai-ramai dan diuruskan oleh pengurus dana yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan.
Pengurus dana pula biasanya hanya mengambil sedikit yuran daripada kerja-kerja mengurus dana berkenaan dan ini menyebabkan modal untuk melabur juga lebih kecil berbanding jika pelabur melabur dalam pasaran saham secara individu.
Namun begitu, apabila membuat pilihan untuk melabur dalam unit amanah, pelabur perlu memahami bahawa setiap tabung unit amanah mempunyai kategori masing-masing seperti dana ekuiti, dana pendapatan tetap, dana seimbang, dana pasaran wang dan dana hartanah (REITs) yang masing-masing mempunyai kaedah pelaburan dan matlamat tertentu.
Sebagai contoh, ASB berada dalam kategori dana ekuiti dengan objektif utama memberi pulangan jangka panjang dalam bentuk pendapatan kepada pemegang unit.
Sehubungan itu, ASB dalam Laporan Tahunan 2021 menyatakan bahawa lebih 75 peratus daripada pelaburan tabung berkenaan ialah dalam pasaran ekuiti. Justeru sudah pastilah, pendapatan yang diperoleh oleh ASB akan dipengaruhi oleh prestasi ekonomi dan pasaran saham semasa dalam tahun yang dilaporkan.
Sebagai pelabur, sudah tentulah kita mengharapkan dividen yang tinggi, namun kita juga perlu memahami bahawa setiap pelaburan dalam pasaran ekuiti pastinya menerima kesan daripada prestasi ekonomi dan pasaran saham semasa.
Tiada pelaburan yang kebal daripada faktor-faktor semasa yang merupakan faktor luar kawalan seperti persekitaran ekonomi dan politik global, harga komoditi dan sebagainya.
Secara asasnya, apabila melabur, kita perlulah mencari instrumen yang mampu memberi pulangan tahunan yang stabil, melebihi inflasi dan dengan risiko yang mampu kita tanggung.
Dalam tempoh jangka panjang, unit amanah masih menyediakan peluang pelaburan yang dapat membantu pelabur membina kekayaan, tanpa perlu meluangkan masa yang banyak untuk menguruskannya.
Unit amanah juga memberi peluang kepada pelabur untuk mula melabur seawal mungkin kerana mereka tidak memerlukan modal yang besar untuk memulakannya.
Paling penting untuk membina kekayaan ialah dengan meletakkan komitmen tinggi untuk melakukannya, dengan melabur secara konsisten setiap bulan dan untuk jangka panjang.
Lebih-lebih lagi dengan adanya peluang pelaburan dalam unit amanah harga tetap yang berisiko rendah seperti ASB, masyarakat sepatutnya memulakan perancangan kewangan mereka seawal mungkin.