Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Kecemasan Tidak Dijangka? Bersedia dengan ASB

Balang simpanan kecemasan berisi wang ringgit Malaysia di sebelah kalkulator dan buku nota
ASNB
ASNB Academy

6 minit masa membaca

Hilang pekerjaan, kereta atau rumah rosak, anak sakit dan pelbagai kecemasan lain yang tidak pernah dijangka pastinya menjejaskan kewangan sekiranya kita tidak mempunyai tabungan untuk menangani musibah yang datang.

Tanpa tabung kecemasan sebagai sandaran, kita mungkin terpaksa meminjam dan berhutang, menggunakan kad kredit atau lebih ekstrim lagi, meminta bantuan daripada Along.

Namun begitu, kebiasaannya selagi tidak ditimpa kecemasan, selagi itulah kita tidak sedar tentang pentingnya mempunyai tabung kecemasan pada setiap masa. Malang memang tidak berbau, tetapi jika kita mempunyai persediaan, tidak mustahil ia dapat ditangani dengan lebih berhemah dan berkesan.

Apa Itu Tabung Kecemasan?

Tabung kecemasan ialah wang yang dikhaskan untuk menampung perbelanjaan penting dan tidak dijangka seperti hilang kerja, rawatan perubatan kecemasan, kereta rosak dan pelbagai keperluan kecemasan yang lain.

Tabung kecemasan amat penting kerana ia sebenarnya merupakan asas kepada kedudukan kewangan yang kukuh. Tanpa tabung kecemasan, kewangan anda sebenarnya amat rapuh dan boleh runtuh pada bila-bila masa musibah datang melanda.

Situasi pandemik COVID-19 menunjukkan bagaimana pendapatan boleh terjejas secara tiba-tiba. Ramai terpaksa mencari sumber pendapatan alternatif, mengurangkan perbelanjaan dan mendapatkan bantuan sementara bagi memenuhi keperluan harian.

Pengalaman ini mengingatkan kita bahawa tabung kecemasan penting untuk memberikan ruang kewangan sementara menyesuaikan diri dengan perubahan.

Jumlah Ideal Tabung Kecemasan

Secara umumnya, jumlah tabung kecemasan ideal yang disarankan ialah minimum enam bulan gaji semasa. Ini supaya anda dapat menampung perbelanjaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan sekiranya berlaku perkara luar dugaan terutamanya jika hilang pekerjaan.

Bagaimanapun, jumlah sebenar bergantung pada kestabilan pendapatan, bilangan tanggungan, komitmen bulanan dan perlindungan kewangan yang dimiliki. Individu yang bekerja sendiri atau mempunyai pendapatan tidak tetap mungkin memerlukan simpanan yang lebih besar.

Mungkin jumlah minimum enam bulan gaji semasa itu dirasakan besar, tetapi ia sebenarnya boleh dilaksanakan dengan disiplin dan konsistensi. Membina tabungan tidak memerlukan anda melabur dalam jumlah besar, sebaliknya boleh dimulakan dengan serendah RM50 setiap bulan.

Tetapkan Destinasi Pelaburan

Anda boleh mempertimbangkan ASB sebagai salah satu instrumen untuk membina sebahagian daripada tabung kecemasan, khususnya bagi dana yang tidak perlu digunakan serta-merta. Pada masa yang sama, simpan sejumlah wang dalam akaun bank untuk keperluan yang memerlukan pembayaran segera.

Beberapa ciri ini menjadikan ASB sesuai sebagai tabung kecemasan:

1. Harga Tetap Membantu Mengekalkan Kestabilan Nilai

ASB ditawarkan pada harga tetap RM1.00 seunit. Berbeza dengan pelaburan harga berubah yang nilainya boleh turun naik mengikut keadaan pasaran, ciri harga tetap ASB memberikan tahap kestabilan yang lebih sesuai untuk wang yang mungkin diperlukan dalam keadaan kecemasan.

2. Boleh Dimulakan dengan Jumlah Kecil

Modal pelaburan permulaan minimum untuk mula melabur dalam ASB hanyalah RM10. Selain menerusi cawangan dan ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank, Pos Malaysia dan RHB Bank, anda boleh melabur secara dalam talian menerusi aplikasi myASNB.

Sementara itu, menerusi kemudahan Auto Labur, anda boleh menetapkan pelaburan secara automatik serendah RM30 setiap bulan. Kemudahan ini membantu menjadikan pelaburan satu komitmen bulanan yang konsisten dan melupakan saja pelaburan berkenaan untuk kelangsungan pelaburan jangka panjang.

3. Mudah Dikeluarkan Apabila Diperlukan (Kecairan Tinggi)

Tabung kecemasan perlulah mudah diakses pada bila-bila waktu diperlukan. Walaupun tidak semudah pengeluaran menerusi ATM, namun ia boleh dilakukan secara serta-merta jika anda mengeluarkan wang menerusi ejen dan cawangan ASNB.

Anda juga boleh mengeluarkan wang menerusi aplikasi myASNB yang mana had pengeluaran ditetapkan pada maksimum 10,000 unit sebulan. Wang akan dikreditkan ke akaun bank berdaftar anda dalam tempoh sehingga 10 hari bekerja.

4. Berpotensi Menjana Dividen Tahunan

ASB mempunyai rekod pengagihan pendapatan tahunan yang kompetitif berbanding penanda arasnya sejak dilancarkan. Walau bagaimanapun, kadar pengagihan boleh berubah dari tahun ke tahun dan tertakluk kepada prestasi dana yang dipengaruhi oleh prestasi ekonomi dalam dan luar negara.

Tetapkan Pelaburan Secara Konsisten Setiap Bulan

Anda boleh mula membina tabung kecemasan dalam jumlah kecil sahaja, lebih-lebih lagi jika anda masih muda. Ini kerana tempoh masa yang panjang membolehkan kuasa faedah kompaun mengembangkan pelaburan dengan lebih pantas.

Yang penting, pelaburan dan dividen tidak dikeluarkan sepanjang tempoh pelaburan.

Janganlah kerana merasakan bahawa jumlah pelaburan kecil tidak memberi kesan, anda langsung tidak bermula. Ingatlah pepatah ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’.

Tetapkan Sasaran Pertama, Kedua dan Seterusnya

Membuat sasaran bertingkat mungkin lebih berkesan untuk membantu anda membina tabungan. Mulakan dengan mencapai matlamat untuk memiliki tabungan kecemasan berjumlah RM1,000.

Selepas sasaran ini dicapai, teruskan dengan sasaran kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah anda berjaya menjadikan pelaburan sebagai amalan dalam kehidupan anda.

Lihat jadual berikut untuk gambaran jumlah tabung kecemasan yang boleh dibina dengan pelaburan bulanan serendah RM50, RM100 atau RM200.

Anda boleh lihat pelaburan serendah RM50 setiap bulan pun cukup untuk mencapai sasaran pertama RM1,000 dalam tempoh 3 tahun.

Walaupun tidak banyak dan mungkin mengambil masa, memiliki tabung kecemasan adalah lebih baik berbanding terpaksa meminjam atau berada dalam keadaan tertekan pada saat paling memerlukan.

Jom mulakan pelaburan dalam ASB untuk bina Tabung Kecemasan di samping menikmati pelbagai perkhidmatan bernilai tambah yang disediakan ASNB.