Ingin kira penjimatan jika anda kurangkan secawan kopi seminggu?

Capai Kebebasan Kewangan: Fokus 6 Perkara Ini

freedom
ASNB Logo
ASNB Academy

3 minit masa membaca

Penasihat kewangan akan memberi tumpuan kepada 6 perkara ini untuk membantu anda mencapai kemerdekaan kewangan. Jom baca lebih lanjut untuk memahaminya.

Merancang kewangan memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi supaya kita dapat menikmati hidup dengan selesa.

Pantau aliran tunai, ambil pinjaman berdasarkan kemampuan dan melabur secara konsisten adalah antara perkara penting yang perlu ada dalam perancangan kewangan yang berkesan.

Apabila kita ingin merancang kewangan, enam perkara yang perlu diberi perhatian iaitu:

  1. pengurusan tunai dan hutang,
  2. perancangan pelaburan,
  3. perlindungan risiko,
  4. persaraan,
  5. percukaian dan
  6. perwarisan.

Jika semua perkara ini diberi perhatian dan diurus dengan betul, tidak mustahil kita semua akan dapat mengoptimumkan sumber pendapatan yang diterima untuk membina kehidupan yang selesa.

Perancangan kewangan yang berkesan sebaiknya dimulakan seawal mungkin, bermula daripada gaji pertama dan diteruskan selagi hayat ada.

Tempoh masa tabungan yang panjang akan membolehkan kita mengambil risiko lebih tinggi untuk pulangan tinggi dan menggunakan sepenuhnya manfaat kuasa pengkompaunan.

Pengurusan Tunai dan Hutang

Analisis kedudukan kewangan semasa dan tentukan sama ada kedudukan kewangan anda mempunyai lebihan atau tidak.

Sekiranya anda berada dalam keadaan tiada lebihan tunai, susun semula perbelanjaan dan hutang anda. Buat bajet dan analisa perbelanjaan anda. Kurangkan perbelanjaan berkaitan hiburan, makan dan minum, pakaian dan sebagainya.

Paling penting, elakkan hutang tidak perlu terutamanya yang dibina daripada pinjaman peribadi dan kad kredit. Kedudukan kewangan anda perlu diperbaiki sehinggalah anda mempunyai tunai untuk melabur.

Perancangan Pelaburan

Mulakan segera pelaburan sekiranya anda mempunyai lebihan tunai. Jangan bertangguh kerana ia mungkin menyebabkan anda berbelanja untuk perkara lain. Utamakan pelaburan dengan mengamalkan gaya hidup labur dulu, baru belanja.

Gunakan kemudahan pelaburan automatik, contohnya ASNB ada menawarkan kemudahan Auto Labur potongan pelaburan automatik terus ke dalam ASB. Cari pelaburan yang memberi pulangan melebihi inflasi dan sesuai dengan profil dan matlamat anda.

Perlindungan Risiko

Lindungi diri anda daripada perkara luar dugaan dengan mengambil insurans atau takaful. Ini penting terutamanya jika anda adalah sumber pendapatan utama diri dan keluarga.

Jika anda sakit atau hilang upaya, anda dan keluarga mungkin hilang punca pendapatan. Dengan adanya perlindungan, anda akan menerima ganti rugi yang setimpal jika ditimpa bencana, dan ia tidak akan mengganggu tabungan atau simpanan anda.

Namun begitu, jangan berlebihan dalam mendapatkan perlindungan, contohnya anda hanya memerlukan satu insurans/takaful untuk kereta (insuran am) kerana hanya satu boleh dituntut jika berlaku kemalangan.

Persaraan

Pastikan pelaburan dan perlindungan risiko yang anda miliki mengambil kira keperluan persaraan anda. Oleh kerana membina tabungan untuk persaraan mengambil masa panjang, pelaburan anda mestilah dilakukan dalam instrumen yang memberi pulangan lebih tinggi berbanding inflasi seperti ASB atau deposit tetap.

Sementara itu, insurans/takaful pula sekiranya boleh, terus diaktifkan selagi anda masih hidup terutamanya yang berkaitan dengan pembiayaan perubatan.

Percukaian

Jangan mengambil mudah urusan percukaian. Jika diurus dengan betul, cukai bukan saja memberi lebihan tunai, tetapi juga menjuruskan anda untuk berbelanja dalam beberapa perkara yang memberi manfaat.

Kerajaan memberi pelepasan untuk belian buku, alat sukan, pemeriksaan kesihatan, insurans dan pendidikan yang semuanya boleh mengurangkan jumlah cukai kena bayar.

Oleh kerana kebanyakan kita sudah membayar cukai secara ansuran menerusi Potongan Cukai Bulanan (PCB), mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) perlu dijadikan acara rutin setiap tahun, Ini akan memastikan lebihan cukai (jika ada) dapat dituntut semula dan digunakan untuk pelaburan atau membayar hutang.

Perwarisan

Anda mengumpul aset untuk diri dan keluarga. Apabila anda tiada kelak, sudah pasti anda mahukan waris anda menerima bahagian masing-masing tanpa sengketa.

Sengketa antara waris seringkali menyebabkan pusaka yang ditinggalkan hilang nilainya dan tidak memberi manfaat.

Jadi sangat penting untuk mengurus harta ketika anda masih hidup dengan menggunakan kaedah yang dibenarkan dalam Islam seperti wasiat, hibah, amanah dan wakaf.

Langkah ini bukan bermakna kita menidakkan Faraid, tetapi lebih kepada memastikan pengurusan harta pusaka dapat berjalan lancar tanpa menimbulkan kesengsaraan kepada mana-mana waris atau pihak lain yang wajar menerima harta perwarisan berkenaan.

Rumusan

Untuk mencapai kemerdekaan kewangan, kita memerlukan satu dokumen perancangan kewangan untuk dijadikan panduan dalam setiap langkah ke arah menjadikan impian kita itu satu kenyataan.

Jika mampu, dapatkan nasihat pakar supaya anda tidak tersilap langkah dan dapat membina kekayaan seperti yang diimpikan.